NIBONG TEBAL, 11 Jun: Tiga sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membaling cat ke atas sebuah rumah pada April lalu.
Tertuduh, Ng Khang Fu, 42, Tan Wei Pin, 34, dan Chow Wai Long, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama didakwa melakukan khianat dengan membaling cat di hadapan sebuah rumah di Taman Merbah Indah sehingga menyebabkan kerugian RM50 kepada mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi pada 25 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norafifah Mohd Shokri, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Lim Sheng Zhe.
Mereka dibenarkan diikat jamin masing-masing RM2,500 beserta seorang penjamin.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang peniaga telefon bimbit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyuruh Khang Fu, Wei Pin dan Wai Long membaling cat tersebut dan bersubahat menyebabkan seorang wanita mengalami kerugian.
Tertuduh, Tan Jun Yan, 31, didakwa melakukan kesalahan itu pada waktu dan tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Tertuduh yang diwakili peguam R, Thevan dibenarkan diikat jamin RM3,000.
Kesemua kes akan disebut semula pada 18 Julai depan. – TVS.