KUCHING, 10 Jun: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menyeru agar Jabatan Pertanian lebih tegas dalam melindungi dan meningkatkan produktiviti pengeluaran varieti padi tempatan di wilayah ini.
Menurutnya, meskipun ketika ini pengeluaran padi hibrid giat dilaksanakan namun penanaman padi varieti asli tempatan mesti terus kekal menjadi keutamaan.
“Berdasarkan pemerhatian saya, banyak yang teruja untuk mengetengahkan penanaman padi varieti hibrid misalnya dari China dan sebagainya. Ada yang bawa varieti benih padi dan cuba mendapatkan pakar dari China.
“Walaupun begitu, Jabatan Pertanian mesti melindungi varieti padi asli kita. Biosekuriti kita mesti tegas dan ketat. Kita tidak mengatakan bahawa kita tidak menggalakkan penghasilan padi menerusi cara hibrid, tetapi jika anda merasai padi asli kita pasti anda tahu bahawa padi asli tempatan lebih premium,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) 2025 di Kuching, pada Selasa.
Oleh itu, tambahnya pihak berkaitan perlu mencari cara untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi asli tempatan.
“Tingkatkan lima hingga lapan tan sehektar supaya kita boleh mendapatkan bahagian terbaik namun dalam masa yang sama berterusan mengeluarkan padi hibrid untuk tujuan eksport.
“Setakat ini SSL padi kita hanya 32 peratus dan saya perhatikan pada tahun-tahun sebelumnya, saya lihat dari 68 ke63 kemudian turun ke 32. Kenapa? Sebab kita tidak ubah praktis kita dalam menjalankan ini (pertanian).
“Kita bukan bercakap mengenai untung, tetapi mengenai keterjaminan makanan. Keterjaminan makan saty pekara, komoditi dan keuntungan satu perkara,” katanya.
Dalam pada itu, Rundi turut menekankan agar M-FICORD meningkatkan pengeluaran makanan haiwan bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport.
“Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah melancarkan kilang penghancur tumbuhan di SALCRA yang menjadi sebahagian daripada makanan haiwan ruminan.
“Jadi dari situ, kita boleh mempunyai polisi untuk mengawal sisa biojisim dari kilang kelapa sawit untuk mengurangkan defisit import-eksport terutamanya dalam makanan haiwan kerana kita kini bergantung dengan import soya, jagung dan sebagainya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rundi menegaskan inisiatif seperti mewujudkan Agro Park, Terminal Makanan, CPPC dan sebagainya harus direalisasikan dan bukan hanya retorik semata-mata.
Mengenai majlis tersebut, seramai 10 orang kakitangan M-FICORD menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024.
Turut hadir Timbalan Menteri M-FICORD (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri M-FICORD (Industri Makanan) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Daha.