ADELAIDE, AUSTRALIA, 11 Jun: Please dont offer job to her.
Kata – kata spontan itu terpacul dari mulut Profesor Renea Taylor yang merupakan Profesor Psikologi di Institut Penemuan Bioperubatan Universiti Monash, Melbourne, Australia.
Taylor ‘menyampuk’ selepas mendengar penulis bertanya sama ada Profesor Lee Wong bercadang untuk pulang bertugas di tanah air suatu hari nanti.
Lee yang berasal dari Sibu, Sarawak merupakan saintis yang mengkaji kaedah rawatan penyakit kanser di institut berkenaan.
Setakat ini beliau dan pasukannya berjaya merekodkan beberapa penemuan penting termasuk tindak balas asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap sistem badan manusia.
Asas kepada pertanyaan penulis ialah kerana Kerajaan Sarawak sedang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan yang kini berada pada peringkat pra pelaksanaan.
“Setiap tahun saya pulang ke Sarawak,” jawabnya ringkas kepada soalan awal penulis.
Penulis berkesempatan bertemu Lee ketika menyertai lawatan yang dianjurkan oleh Jabatan Hubungan Luar dan Perdagangan Australia ke Melbourne dan Adelaide baru – baru ini.
Lawatan itu sempena 70 tahun hubungan strategik Malaysia dengan Australia.
Berbalik kepada Lee, beliau mendedahkan telah berkelana ke Negara Kanggaro itu sejak lebih 20 tahun selepas menamatkan pengajian di Taylor University, Malaysia.
Namun katanya sehingga hari ini, dia masih memegang kerakyatan Malaysia.
Kata Lee ketika tiba di sini dahulu, tidak ramai pelajar Malaysia yang memilih bidang sains kerana majoriti melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan atau perakaunan.
“Saya pula lebih berminat dalam bidang sains dan membuat pilihan tepat kerana berpeluang untuk melakukan penyelidikan. Ketika itu di Asia termasuk Malaysia tidak ada penyelidikan berkenaan penyakit kanser.
“Saya bernasib baik kerana berpeluang melanjutkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan menikmati proses berkenaan dan oleh itu saya mahu menggalakkan pelajar Malaysia melakukan perkara sama,” katanya
Selepas menamatkan PhD, Lee berkata, beliau ‘berpindah’ ke penyelidikan bidang biologi genom.
“Pada dasarnya kajian saya bertujuan untuk memahami bagaimana bahan genetik kita khususnya DNA yang dibungkus dalam sel kerana kita tahu badan manusia mempunyai DNA yang sama namun semua tisu berbeza.
“Saya fikir perkara itu menarik,” katanya.
Ditanya punca beliau bersungguh – sungguh untuk melaksanakan kajian berkenaan, Lee berkongsi kisah sedih yang dihadapinya pada 2012.
“Ketika berpindah ke sini, saya bertemu sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan mereka akibat kanser otak.
“Pada masa itu, tidak ada penyelidikan mengenai kanser berkenaan malah ia merupakan penyakit yang jarang berlaku bagi kanak – kanak, jadi tidak ramai yang berminat untuk membuat kajian kerana jika melakukannya, anda memerlukan bahan.
“Ia merupakan adalah kanser yang jarang berlaku, biasanya kita tidak mempunyai keupayaan untuk memulakan,” katanya.
Jelas beliau selepas lebih 10 tahun, perkembangan penyelidikan dalam bidang itu semakin berkembang.
“Sekarang saya boleh katakan di sini, terdapat sekurang – kurangnya sepuluh pasukan penyelidikan yang mengkaji tentang penyakit ini.
“Saya rasa akan melakukan penyelidikan ini sehingga saya bersara,” katanya.
Di sebalik terpisah beribu batu dari keluarga tercinta di tanah air, Lee mengakui dia masih mengikuti perkembangan di Malaysia dan Sarawak khususnya.
Antara yang menarik perhatian kata Lee ialah polisi Kerajaan Sarawak yang akan menawarkan pengajian tinggi secara percuma kepada rakyatnya dalam masa terdekat.
“Saya fikir ia sesuatu yang mengagumkan apabila kerajaan berbuat demikian. Ini kerana seperti yang kita sedia maklum, masih terdapat banyak keperluan di Sarawak termasuk dalam soal pendidikan dan kesihatan rakyat,” katanya.
Tambah Lee, perkara itu akan membuka peluang keemasan kepada rakyat Sarawak kerana mereka akan turut terlibat dengan usaha membangunkan wilayah berkenaan.
“Formula yang berkesan ialah anda mempunyai hospital, pusat kesihatan atau pusat kanser serta ahli akdemik dan kemudian akan dapat melakukan seperti apa dibuat oleh Australia,” katanya.
Lee berkata, beliau yakin lebih banyak penyelidikan akan dapat dilakukan di Sarawak.
“Penyelidikan itu akan melatih generasi masa depan Sarawak,” katanya. -TVS.