SIMUNJAN, 11 Jun: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee komited menyokong program pembangunan di peringkat akar umbi di kawasan itu.
Menurutnya, ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan komuniti luar bandar secara inklusif dan mampan.
“Saya teruja melihat persiapan penduduk melalui penganjuran majlis malam ini yang menunjukkan kerjasama yang erat.
“Inilah yang kita mahu sentiasa diteruskan bagi terus memastikan kampung menikmati pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Ngiling Bidai di Kampung Melanjok Asal di sini, malam tadi.
Menurutnya, program seumpama itu juga dapat menyemarakkan warisan budaya masyarakat setempat.
Terdahulu, majlis menyaksikan Rodiyah mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM5,000 kepada komuniti kampung melibatkan RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melanjok Asal dan RM2,000 kepada Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Melanjok. -TVS