KUCHING, 11 Jun: Sebuah kereta musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Matang, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.30 pagi.
Tujuh anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbakar 100 peratus. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini,” kata PGO JBPM Sarawak dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki pam jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Operasi dikawal pada jam 6.45 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 7.00 pagi melibatkan tujuh anggota serta satu jentera FRT. – TVS