SARATOK, 11 Jun: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menubuhkan pasukan khas bagi mengesan seorang banduan lelaki yang diklasifikasikan sebagai Orang Banduan Berlesen (OBB) yang menghilangkan diri sejak Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata pasukan khas itu ditubuhkan serta-merta sebaik menerima laporan polis berkaitan kes pada Selasa.
“Satu pasukan khas telah ditubuhkan oleh IPD Saratok bagi mengesan OBB tersebut dikenali sebagai Mohamad Hamizul Mohd Kiprawi, 30 tahun, yang menghilangkan diri dari jagaan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Kuching sejak Ahad lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu katanya, beliau menyeru kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi Ketua Balai Polis Saratok sekiranya mempunyai sebarang makkumat berkaitan kes tersebut.
“Orang ramai boleh berhubung dengan Ketua Balai Polis Saratok, SM Nara Medan ditalian 019-8579113 sekiranya mempunyai makkumat berkaitan kes.
“Kerjasama dan komitmen yang positif daripada orang awam atau mana-mana individu adalah amat diperlukan dalam kes ini,” katanya.
Mohamad Hamizul Mohd Kiprawi, 30 tahun beralamat di No.3/451, Jalan Haji Puteh Ellias, Saratok yang ditahan di Penjara Pusat Sri Aman kini sedang menjalani Perintah Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) bermula 26 Mei sehingga 15 Julai 2025.
Mohamad Hamizul didapati telah melanggar syarat-syarat PBSL di bawah Seksyen 43(1) Akta Penjara 1995 (AKTA 537) iaitu tidak berada dan menetap di kediaman yang ditetapkan. – TVS