KUALA LUMPUR, 11 Jun: Semua permit dan lesen milik syarikat pengendali bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lepas dibatalkan serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan awal mendapati pemilikan permit telah dipajakkan kepada pihak ketiga dengan bayaran RM500 sebulan.
“Hasil siasatan mendapati bahawa pemilik permit (beralamat di Kedah) telah memajakkannya kepada pihak ketiga, iaitu seorang individu di Kelantan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anthony turut memaklumkan pemilik syarikat bas gagal mengaktifkan Sistem Pengesanan Global (GPS) yang merupakan antara salah satu syarat wajib ditetapkan.
“Kita telah meminta syarikat menyerahkan laporan GPS namun mereka tidak dapat berbuat demikian kerana sistem itu tidak diaktifkan.
“Ini merupakan dua syarat besar yang mereka telah langgar.
“Justeru, saya telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya permit untuk syarikat tersebut ditarik balik serta merta,” katanya.
Beliau menyifatkan perkara berkenaan sebagai kecuaian serta sikap tidak bertanggungjawab dan rayuan bagi memperoleh semula permit tidak akan dilayan.
Dalam kejadian kira – kira pukul 1.10 pagi Isnin lepas, 15 pelajar maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza kira-kira jam 1.10 pagi.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim, Perak. -TVS.