KUALA LUMPUR, 11 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang terkorban dalam tragedi nahas bas di Gerik, kelmarin.
Menurut Anwar, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan berjumlah RM5,000 pula akan disalurkan kepada mangsa yang cedera.
“Semoga keluarga dan mangsa yang terkesan dalam insiden yang menyayat hati ini diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini, ” katanya menerusi hantar di laman Facebook miliknya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada kesemua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kejadian itu.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti bantuan tambah kepada keluarga mangsa.
Pada Isnin, 15 pelajar UPSI maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di kilometer (km) 53, di JRTB Jeli-Gerik, di Gerik. – TVS