KUCHING, 11 Jun: Sebanyak 140 projek merangkumi 49 projek fizikal dan 91 projek bukan fizikal sedang dilksanakan di seluruh Sarawak, kata Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD), Datu Sirai Daha.
Menurutnya, agensi pelaksana bagi projek-projek ini termmasuk DOA Sarawak, DVD Sarawak, DID Sarawak, JKR Sarawak, SALCRA, SLDB, LCDA dan SDEC.
“Setakat 30 April 2025, 16 projek fizikal berstatus Sudah Siap (SS), 10 projek fizikal berstatus Ikut Jadual (IJ) dan 23 projek fizikal berstatus Dalam Perancangan (DPr). Manakala, 91 projek bukan fizikal masih dalam proses pelaksanaan.
“Saya ucapkan tahniah kepada jabatan dan agensi perlaksana kerana setiap projek yang bukan fizikal kita mampu menggunakan peruntukkan yang diberikan mengikut tahun lebih daripada 85 peratus.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) 2025 di Kuching, pada Selasa.
Katanya, M-FICORD hanya menguruskan penyaluran peruntukan, membantu dalam memohon peruntukkan dan fasiliti serta memudah cara dalam mengemukakan cadangan projek, namun keberhasilan perlaksanaan projek hasil daripada komitmen jabatan dan agensi bertanggunGjawab.
Selain itu, tambahnya, kementerian juga akan terlibat dalam beberapa program penting sepanjang tahun ini bagi mempromosikan sektor makanan, komoditi dan pembangunan wilayah.
“Antara program yang akan disertai termasuk Sarawak Week sempena Malaysia Expo di Osaka, Jepun pada 1 hingga 10 Ogos, Sarawak Agrofest 2025 pada 22 hingga 31 Ogos di Bintulu, Showcase Usahawan Sarawakanjuran MINTRED di Bintulu pada 26 hingga 29 Jun dan di Queensbay Mall Pulau Pinang pada 28 Ogos hingga 1 September.
Selain itu, M-FICORD juga akan menyertai Mini MAHA 2025 pada 22 hingga 28 Oktober di MAEPS Serdang, Lan Berambeh 2025 pada 25 Oktober di MITEC Kuala Lumpur, serta Sarawak Mega Fair 2025 di Singapura pada 16 hingga 19 Oktober,” ujarnya.
Jelasnya, penyertaan dalam program ini penting untuk memperkenalkan produk dan potensi Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa.-TVS