Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lim Hui Ying ketika berucap pada Persidangan Asia Tenggara ABAC–ASEAN-BAC–APFF 2025 di sini hari ini. Foto Amiruddin Shah (TVS)

Kerjasama negara anggota ASEAN dalam APEC jamin keutamaan serantau

ByHafeezzur Muzamir

KUALA LUMPUR, 11 Jun: Sinergi antara negara anggota ASEAN dalam kerangka Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) disifatkan penting bagi memastikan keutamaan bersama di Asia Tenggara dimasukkan dengan jelas dalam pelan hala tuju baharu Asia-Pasifik itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata bahawa wujud keperluan kerjasama antara negara-negara di rantau ini bagi membolehkan inisiatif-inisiatif di bawah ASEAN dan APEC bergerak sejajar serta saling menyokong antara satu sama lain.

“Tahun ini menandakan satu lagi babak penting dalam perjalanan APEC. Pada bulan Oktober nanti, menteri-menteri kewangan akan melancarkan pelan hala tuju baharu bagi menggantikan Pelan Tindakan Cebu.

“Pelan hala tuju ini akan menetapkan keutamaan Proses Menteri-Menteri Kewangan (FMP) untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia akan mengenal pasti inisiatif dan hasil jangka sederhana FMP ke arah pencapaian Wawasan Putrajaya APEC, iaitu untuk membentuk sebuah komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman,” katanya ketika berucap pada Persidangan Asia Tenggara ABAC–ASEAN-BAC–APFF 2025 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli ABAC Jepun dan Pengerusi Bersama Forum Dasar Kewangan Asia Pasifik (APFF), Mitsuhiro Furusawa; Ahli ABAC Thailand dan Pengerusi Bersama APFF, Kobsak Duangdee; dan Pengarah Eksekutif, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Jukhee Hong.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persidangan itu, Hui Ying berkata Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, menantikan laporan dan syor-syor yang dikemukakan daripada persidangan itu.

Hui Ying menambah, Malaysia juga menantikan kesinambungan kerjasama dalam ASEAN bersama Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

“Selain itu, kami berharap dapat mengadakan perbincangan yang bermanfaat semasa sesi dialog makan tengah hari tahunan antara Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan Menteri-Menteri Kewangan APEC pada bulan Oktober ini di Incheon,” katanya.

Persidangan Asia Tenggara ABAC–ASEAN-BAC–APFF 2025 merupakan forum tahunan yang melibatkan kerjasama awam-swasta di peringkat ASEAN dan APEC.

Persidangan pada tahun ini menghimpunkan pakar dan pemain industri daripada rangkaian gabungan ASEAN-BAC, APEC-BAC, APFF, serta turut melibatkan Perkongsian Infrastruktur Asia Pasifik (APIP) dan Forum Inklusi Kewangan Asia Pasifik (APFIF). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan