Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Norizan Yahya menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di Miri, hari ini. Foto TVS

Kastam rampas ganja bernilai RM2.58 juta di Miri

ByVanessa Enjop

MIRI, 11 Jun: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 26.3 kilogram ganja bernilai RM2.58 juta dalam satu operasi di sebuah syarikat kurier tempatan, menjadikannya antara rampasan terbesar di negeri ini tahun ini.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata rampasan dibuat hasil pemeriksaan ke atas lima kotak kiriman tidak dituntut di premis syarikat berkenaan di pusat bandar raya Miri pada 13 Mei 2025.

“Hasil pemeriksaan menemui 28 bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis ganja mampat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menggunakan perkhidmatan kurier dari Semenanjung Malaysia dan menyamarkan kandungan dadah sebagai bungkusan pakaian.

“Kotak-kotak itu dialas dengan pakaian bagi mengaburi pihak berkuasa. Namun, hasil maklumat dan risikan Unit Risikan Narkotik JKDM Miri serta tindakan pantas pegawai Unit Penguatkuasaan, kita berjaya mengesan dan menyita barang larangan ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam kes ini memandangkan tiada individu hadir menuntut bungkusan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan jika disabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Norizan berkata Miri kini dikenal pasti sebagai salah satu kawasan transit utama aktiviti penyeludupan dadah di negeri ini berdasarkan rekod rampasan terkini.

“Setakat ini, kita telah merekodkan 14 kes tangkapan dadah di Miri tahun ini, melibatkan nilai rampasan mencecah RM6.89 juta dan seramai 10 individu telah didakwa di mahkamah,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan