KUCHING, 11 Jun: Seramai 1,000 peserta dijangka menyertai Jepak Bridge Run 2025 yang akan diadakan pada 20 Julai depan, sempena pembukaan rasmi Jambatan Jepak oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tiga hari kemudian.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris berkata acara itu akan bermula di Dewan Suarah Bintulu dan menjadi antara tarikan utama menjelang perasmian jambatan ikonik berkenaan.
“Kita jangkakan sambutan ini memang akan hangat sebab ia adalah jambatan yang ikonik. Ini juga merupakan cara kita memperkenalkan infrastruktur ikonik yang dibina kerajaan Sarawak kepada rakyat,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan ‘Jepak Bridge Run 2025’ di sini, hari ini.
Menurutnya, tetamu kehormat bagi acara itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang akan mengetuai larian berkenaan.
Tambah beliau, yuran penyertaan hanya RM20 dan setiap peserta akan menerima baju serta medal eksklusif sebagai tanda kenang-kenangan.
Terdapat empat kategori yang dibuka kepada peserta iaitu lima kilometer Lelaki Terbuka, lima kilometer Wanita Terbuka, 10 kilometer Lelaki Terbuka dan 10 kilometer Wanita Terbuka.
“Kita jangkakan sambutan hangat kerana Jambatan Jepak ini menjadi lambang kemajuan dan aspirasi rakyat Sarawak,” katanya.
Pembukaan rasmi Jambatan Jepak dijadual berlangsung pada 23 Julai 2025.