LIMBANG, 11 Jun: Jalan Penyiaran di sini akan diubah haluan dengan lencongan bagi memberi laluan sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke –17 Peringkat Negeri Sarawak bermula hari ini, 11 hingga 15 Jun.
Ketua Polis Daerah Limbang Superitenden Parum Niot dalam kenyataannya hari ini mengesahkan hanya jalan terbabit sahaja terlibat bagi sambutan berkenaan.
“Jalan ini merupakan jalan dua hala, namun sepanjang program ini berlangsung laluan ini akan diubah kepada satu hala iaitu pergerakan masuk kenderaan adalah melalui simpang Jalan Pandaruan / Penyiaran (berhampiran kolam renang) dan pergerakan keluar melalui Jalan Muhibbah / Penyiaran (berdepan Balai Bomba dan Penyelamat Limbang),”katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Parum lagi mana-mana jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau orang awam yang ingin menerbangkan dron sepanjang tempoh program berlangsung perlu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Pihak Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak atau individu yang menerbangkan dron tanpa kelulusan daripada pihak CAAM sepanjang program tersebut berlangsung,”katanya.
Kata beliau kerjasama orang ramai dan pengguna jalan raya adalah diperlukan bagi melancarkan perjalanan program, pergerakan aliran trafik serta mengelakkan daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
“Orang ramai juga diingatkan agar mematuhi arahan daripada petugas yang menjalankan tugas semasa di lapangan,”katanya lagi. -TVS.