SHAH ALAM, 11 Jun: Skuad kebangsaan meletakkan sasaran layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025 yang akan bermula pertengahan bulan ini.
Pemain tengah Mohd Fitri Saari berkata, dia dan rakan sepasukan telah membuat persiapan rapi selain mengharapkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Kata Mohd Fitri, The Speedy Tigers dijadual menentang Pakistan pada perlawanan pembukaan.
“Saya lihat (peluang) menentang Pakistan 50 -50 kerana perlawanan pada kejohanan sebelum ini kami seri 4-4.
“Saya harap dengan kelebihan sebagai tuan rumah, kita akan mara ke separuh akhir malah ke final,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis memperkenalkan kenderaan rasmi kejohanan itu di sini hari ini.
Tambah Mohd Fitri, bagi mencapai sasaran itu Malaysia perlu berada pada kedudukan empat terbaik dengan perlu menewaskan Pakistan dan Jepun.
“Saya harap semua pemain dapat memberikan yang terbaik pada kejohanan kali ini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak memaklumkan segala kelemahan yang dikenal pasti semasa siri jelajah di Korea Selatan baru – baru ini telah diberi tumpuan sepenuhnya menjelang kejohanan.
“Kami telah memperbaiki semua kelemahan yang dikenal pasti sepanjang jelajah terakhir terutamanya membabitkan pukulan sudut penalti selain aspek serangan atau pertahanan,” jelasnya.
Ahmad Najmi turut meluahkan keyakinan bahawa pasukan bimbingan jurulatih Sarjit Singh itu telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi pada kejohanan berkenaan.
Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh pada edisi terdahulu di Poland.
Piala Negara-Negara 2025 akan berlangsung pada 15 hingga 21 Jun dengan Malaysia dijadualkan menentang Pakistan pada pukul 8 malam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. -TVS.