KUCHING, 11 Jun: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan besar mereka dalam merancakkan transformasi bola sepak negara.
Penghargaan itu dizahirkan susulan kejayaan skuad kebangsaan, Harimau Malaya, menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Selasa.
“Terima kasih TMJ, terima kasih PMX. Selamanya Harimau Malaya!” kata Hannah menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Tambah kenyataan itu, kemenangan bergaya tersebut turut menyaksikan skuad kendalian jurulatih baharu, Peter Cklamovski, menamatkan kemarau 11 tahun tanpa kemenangan ke atas pasukan “Naga Emas”.
“Tahniah diucapkan kepada jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski atas kejayaan menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027,” katanya lagi.
Untuk rekod, inisiatif reformasi bola sepak negara mula digerakkan pada Disember 2024 apabila TMJ mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi menyatakan komitmen baginda dalam membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Antara usaha strategik yang dibincangkan termasuk akses kepada pangkalan data pemain berdarah Malaysia di luar negara, khususnya di Eropah dan Amerika Selatan, sebagai langkah memperkasa kekuatan pasukan negara secara menyeluruh.
Sementara itu, Perdana Menteri, pada Januari lalu mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menyokong pembangunan bola sepak kebangsaan dan RM15 juta daripadanya ditanggung sektor swasta.
Menurut beliau, dana itu disalurkan untuk memperkukuh program pembangunan akar umbi Harimau Malaya di semua peringkat, di samping memastikan pasukan utama lebih bersedia dan kompetitif di pentas antarabangsa.