Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nurul Norhidayah dan Tonny Mohammad Jelani. Foto TVS

Disangka cahaya lampu kereta, rupanya api menjulang

SIBU, 11 Jun: Cahaya yang disangka datang daripada lampu kereta rupa-rupanya adalah nyalaan api yang sedang marak, itulah detik cemas yang dialami seorang wanita apabila rumahnya menjadi antara tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Jalan Bunga Raya, awal pagi tadi.

Nurul Norhidayah Tonny, 22 tahun, mangsa dan saksi awal kejadian berkata dia baru sahaja mahu melelapkan mata apabila ternampak cahaya terang dari tingkap biliknya.

“Mula-mula saya ingatkan cahaya tu dari lampu kereta, tapi bila saya buka tingkap, rupanya api dah marak. Saya terus kejutkan semua ahli keluarga dan arahkan mereka keluar ikut pintu belakang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kebakaran yang berlaku sekitar jam 1.45 pagi itu dipercayai bermula daripada sebuah motosikal milik penyewa tingkat atas sebelum merebak ke kenderaan lain dan akhirnya menjilat keseluruhan rumah dua tingkat tersebut serta beberapa rumah berhampiran.

“Kami tinggal di tingkat bawah, atas tu penyewa lain. Api mula dari motor, kemudian terus merebak ke bilik saya, kena katil dan habis semua. Saya sempat capai beg dan dokumen penting, tapi sijil-sijil semua dah tak sempat,” tambah Norhidayah.

Norhidayah bersyukur kerana semua ahli keluarga berjaya diselamatkan berkat tindakan pantasnya, namun menyatakan kesedihan kerana banyak barangan penting tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, ayahnya Tonny Mohammad Jelani, 61, meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pelbagai pihak yang telah tampil membantu selepas kejadian menyayat hati itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee yang berusaha menyelaraskan bantuan.

“Buat masa ini, saya bersama ahli keluarga menumpang sementara di kuarters di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu milik anak saya yang bertugas sebagai anggota polis,” ujarnya.

Menurut beliau, bantuan awal telah mula diterima daripada pelbagai sumber termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Baitulmal, serta sumbangan orang awam yang prihatin.

Tonny, yang bekerja sendiri sebagai tukang pasang karpet untuk surau-surau sekitar Sibu, termasuk di Sri Aman, dan Kuching, turut kehilangan semua peralatan dan stok perniagaan dalam kebakaran tersebut.

“Semua barang kerja hangus terbakar, langsung tak dapat diselamatkan. Kerja pun tak boleh buat, hidup kami kini bergantung pada belas ihsan orang ramai,” katanya dalam nada sebak.

Bapa kepada lima orang anak itu merayu kepada pihak berwajib dan individu prihatin agar menghulurkan bantuan supaya beliau boleh kembali bekerja dan menyara keluarganya.

Dalam insiden awal pagi Rabu, kesemua penghuni ketiga rumah berjaya menyelamatkan diri dan seorang wanita dewasa dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat melecur pada tangan telah menerima rawatan awal daripada Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan