KUCHING, 10 Jun: Sebanyak 200,000 jenis bunga dan tumbuhan seperti orkid, bromeliad, paku-pakis, zingiber serta tanaman herba akan dipamerkan sempena penganjuran Borneo Flora Festival@Labuan (BFF) 2025 pada 26 hingga 30 Julai ini.
Festival berasaskan alam semula jadi itu bakal berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dan merupakan kesinambungan daripada Royal Floria Putrajaya, namun buat pertama kali dibawa ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim berkata pemilihan Labuan sebagai lokasi penganjuran adalah bagi memperkenalkan khazanah flora tropika dan warisan landskap etnik Borneo kepada umum.
“Labuan selama ini sinonim sebagai pulau bebas cukai serta hab minyak dan gas. Dengan adanya festival ini, kita ingin memperkenalkan keindahan flora tempatan serta mengetengahkan landskap beridentiti Borneo yang kaya dan berwarna-warni,” katanya ketika menjadi tetamu program Dialog TVS.
Mengulas lanjut, beliau berkata festival itu turut menjadi platform kepada komuniti hortikultur dan usahawan tani tempatan untuk memasarkan produk mereka secara lebih meluas.
“Selain mempromosikan produk tempatan, festival ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemeliharaan biodiversiti serta memacu sektor ekopelancongan domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Menurut Noridah, pelbagai strategi pemasaran kreatif turut digerakkan termasuk penggunaan media sosial, kolaborasi bersama pempengaruh dan promosi produk khas Labuan seperti ikan bilis mata biru serta ikan segar celup tepung.
Jelasnya, pembangunan sektor pelancongan Labuan juga memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia.
“Promosi lebih agresif perlu dilaksanakan melalui program pemasaran luar negara dan penambahbaikan infrastruktur pelancongan.
“Dalam masa sama, komuniti setempat juga diberi latihan seperti pemasaran digital dan fotografi bagi memastikan pelancongan Labuan kekal kompetitif,” katanya.
Festival yang bakal dirasmikan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pelancongan Labuan yang kini turut memberi fokus kepada destinasi ekopelancongan seperti Taman Laut Kebangsaan dan Geopark Labuan.
Maklumat lanjut mengenai festival boleh diperoleh di portal rasmi borneoflorafestival.com.my.