LUNDU, 10 Jun: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar menjala ikan di Sungai Batang Kayan berhampiran Kampung Sileng, di sini, ditemui meninggal dunia pada tengah hari Selasa.
Mangsa, Awang Bosman Awang Jibi, 74, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.30 tengah hari, kira-kira satu kilometer dari lokasi bot miliknya ditemui berpusing dan melanggar tebing sungai sehari sebelum itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi SAR hari kedua bermula jam 8.05 pagi melibatkan pencarian radius dua kilometer menyusuri hulu dan hilir sungai.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 petang,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kejadian dilaporkan berlaku pada Isnin apabila mangsa turun ke sungai sekitar Kampung Sileng untuk menjala ikan sebelum dilaporkan hilang.
“Penduduk kampung yang melalui kawasan sungai berkenaan menjumpai bot milik mangsa berpusing dan melanggar tebing tanpa kelibat mangsa di dalamnya. Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai,” katanya lagi.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu sebelum operasi SAR digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.-TVS