SHANGHAI, 10 Jun: Pembangunan loji solar terapung di Empangan Hidroelektrik Bakun dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh 18 bulan atau 2 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili berkata pembangunan projek akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat dari China, iaitu China Three Gorges International Ltd (CTGI), dan Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd.
“Kami meminta mereka untuk membantu kami dalam kajian ke atas pembangunan loji solar di Empangan Hidroelektrik Bakun kerana di sana mempunyai badan air yang sangat besar dan kami merasakan kami boleh membangunkan sejumlah besar tenaga solar di Bakun.
Oleh itu kami bekerjasama dengan mereka dan kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Antarabangsa Solar Fotovoltaik dan Tenaga Pintar (SNEC PV Expo) di sini hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan MoU dimeterai antara Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, China Three Gorges International Ltd (CTGI), dan Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd.
Mengambil contoh tempoh pelaksanaan projek sama di Empangan Batang Ai, yang siap dalam tempoh 18 bulan, Sharbini berkata berkemungkinan di Bakun akan mengambil sedikit masa untuk siap dilaksanakan.
“Sekiranya kami mampu menjayakan projek ini, ia bakal menghasilkan sehingga 300 megawatt (mw) penjanaan tenaga sebagai permulaannya dan ini akan berkemungkinan menjadi yang terbesar di Asia Tenggara.
Kami berharap akan mampu meningkatkan jumlah itu dalam beberapa tempoh akan datang sekali gus menjadikan Sarawak mempunyai tenaga solar terapung terbesar di rantau ini,” katanya lagi. – TVS