SELANGAU, 10 Jun: Projek pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau yang bernilai RM81 juta dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026, enam bulan lebih awal daripada jadual asal.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sehingga kini, kemajuan fizikal projek mencatatkan prestasi mendahului jadual sebanyak 4.34 peratus.
“Jadual asal penyiapan ialah Jun 2027, tetapi kita sudah minta kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) percepatkan kepada Disember 2026,” katanya selepas meninjau tapak projek berkenaan di sini, hari ini.
Menurut beliau, faktor tapak yang rata dan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) banyak membantu mempercepatkan kerja pembinaan. Projek ini merangkumi 18 bilik darjah serta kemudahan lain bagi menampung keperluan pendidikan di kawasan itu.
Selain impak pendidikan, Uggah berkata pelaksanaan projek turut merangsang ekonomi tempatan menerusi kehadiran tenaga kerja yang membeli keperluan harian dari perniagaan sekitar Selangau dan Sibu.
Terdahulu, beliau turut melawat tapak projek jalan akses baharu sepanjang 450 meter yang menghubungkan Lebuhraya Pan Borneo ke Pekan Selangau.
Projek berjumlah RM3.5 juta itu juga menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
Uggah menegaskan, pemantauan berterusan oleh JKR penting bagi memastikan tiada projek terbengkalai atau menjadi projek sakit.
“Setiap projek yang diluluskan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) perlu siap mengikut jadual. Jika ada masalah tidak dapat diselesaikan, kontrak boleh ditamatkan,” katanya.