CYBERJAYA, 10 Jun: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa tiada sebarang maklumat peribadi individu dikumpul atau didedahkan dalam pelaksanaan pengumpulan Data Telefon Bimbit atau Mobile Phone Data (MPD).
Menurut Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, semua data yang diperoleh daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah dinyah-identiti sebelum diserahkan kepada pihak MCMC.
“Melalui surat yang diberikan kepada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, kita telah nyatakan secara khusus bahawa data yang diberikan mestilah dinyah-identiti-kan.
“Tiada unsur pengenalan identiti seseorang individu seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat, atau sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti pemilik akaun,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat kepada media mengenai isu pengumpulan MPD di Cyberjaya.
Zulkarnain turut menjelaskan bahawa data lokasi yang dikumpul bukan merujuk kepada lokasi individu, sebaliknya merujuk kepada lokasi menara pemancar di mana komunikasi berlaku.
Mengulas lanjut, beliau juga menjelaskan bahawa data yang telah dinyah-identiti tidak diklasifikasikan sebagai data peribadi mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010.
Pada masa yang sama, beliau berkata MPD bukan sahaja digunakan untuk menganalisis data dan transformasi digital, tetapi juga sebagai alat penting dalam merangka dasar pembangunan yang lebih tepat dan inklusif.
“MPD membolehkan kita merancang secara lebih terperinci dan kemas.
“Ini memberikan maklumat yang lebih tepat, terutamanya dalam memastikan tiada komuniti atau kawasan yang tercicir daripada pelaksanaan dasar kerajaan,” jelasnya. – TVS