SHANGHAI, 10 Jun: Sarawak setakat ini sudah mencapai 5,900 megawatt(MW) penjanaan tenaga, sekali gus memperlihat keperluan negeri untuk menjana lebih 4,000MW sahaja lagi ke arah mencapai 10 gigawatt (GW) menjelang 2030.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili berkata pencapaian itu ketika ini menunjukkan usaha berterusan syarikat itu menjadi peneraju utama dalam tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
“Pada hari ini, kita mempunyai kira-kira 5,900MW kapasiti tenaga. Oleh itu, menjelang tahun 2030, kita perlu membangunkan beberapa gigawatt lagi bagi mencapai sasaran 10 gigawatt.
Usaha ini juga selaras dengan aspirasi kita untuk memastikan Sarawak Energy terus menjadi peneraju utama dalam tenaga boleh diperbaharui di rantau ini, serta mengekalkan 60 peratus daripada kapasiti penjanaan tenaga kita datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui dalam campuran penjanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Antarabangsa Solar Fotovoltaik dan Tenaga Pintar (SNEC PV Expo) di sini hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan MoU dimeterai antara Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, China Three Gorges International Ltd (CTGI), dan Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd.
Sharbini berkata MoU tersebut membawa kepada kajian bersama dua syarikat gergasi China dengan melihat potensi untuk membangunkan projek solar terapung di loji hidro Bakun.
“Menerusi kerjasama dalam tenaga solar ini, kami berharap dapat menambah kira-kira 1,500 mw tenaga solar menjelang tahun 2030.
Justeru, kerjasama dan MoU ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penting ke arah mencapai sasaran tersebut,” ujarnya lagi.
Beliau mendedahkan bahawa SEB telah menerima banyak tawaran kerjasama solar dari syarikat luar negara dan antaranya adalah CTGI, dan Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd.
Beliau meyakini latar belakang dan rekod prestasi yang baik dari segi pembangunan solar kedua-dua syarikat itu mampu merealisasikan kerjasama pembangunan tenaga sama di Sarawak. – TVS