KUALA LUMPUR, 10 Jun: Pemanduan pada waktu malam atau dalam keadaan gelap oleh kenderaan pengangkutan awam perlu dielakkan, terutama di laluan berisiko tinggi seperti kawasan berbukit dan cerun curam.
Menurut Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurrul Hafeezah Sahak, pencahayaan yang lemah pada waktu malam secara langsung menjejaskan jarak penglihatan pemandu.
Pakar keselamatan jalan raya itu berkata, keadaan tersebut menyebabkan pemandu lebih mudah mengantuk, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
“Selain itu, kerajaan perlu mewajibkan pemasangan ‘dashcam’ kerana ia boleh menjadi sumber maklum balas untuk menganalisis tingkah laku semasa pemanduan.
“Ia juga membantu pihak pengurusan syarikat pengangkutan awam mengenal pasti tingkah laku tidak selamat oleh pemandu,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang perlu diambil kerajaan bagi memastikan insiden yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas bas di Gerik, tidak berulang.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewajibkan latihan kesedaran bagi memupuk budaya kerja yang selamat dalam kalangan pemandu pengangkutan awam.
Katanya, kesedaran masyarakat untuk memilih pengangkutan awam yang mempunyai rekod keselamatan yang baik juga penting dalam mengurangkan risiko kemalangan.
“Syarikat pengangkutan yang memiliki rekod keselamatan yang baik mampu menjamin keselamatan penumpang kerana pemandu telah dilatih mengikut garis panduan dan undang-undang, selain menyediakan kenderaan dalam keadaan baik untuk perjalanan,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 mahasiswa UPSI maut, manakala 33 lagi cedera apabila bas yang membawa mereka terbalik dalam satu kemalangan.
Bas yang disewa khas oleh pelajar universiti tersebut berlepas dari Jertih, Terengganu pada jam 9 malam Ahad, dan sedang dalam perjalanan ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak, semasa kejadian berlaku. – TVS