SHANGHAI, 10 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak dan dua syarikat gergasi tenaga dari China sebagai langkah penting untuk menjalankan kajian menyeluruh meneroka potensi projek solar terapung berskala besar di negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan matlamat Sarawak untuk memperkukuh keterjaminan tenaga serta kelestarian alam sekitar, selain mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Menjelang 2030, kita menyasarkan kapasiti penjanaan 10 gigawatt dan meningkat kepada 15 gigawatt menjelang 2035, dengan lebih 60 peratus daripadanya disumbang oleh sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Solar Fotovoltaik dan Tenaga Pintar (SNEC PV Expo) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy dan Petros), Dato Ibrahim Baki.

Majlis berkenaan menyaksikan MoU dimeterai antara Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, China Three Gorges International Ltd (CTGI), dan Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd bagi meneroka pembangunan projek solar terapung sehingga 1,000 megawatt (MW) di Empangan Hidroelektrik Bakun di Belaga.
Menurut Sarawak Energy Berhad (SEB), projek berpotensi itu bakal menjadi loji solar terapung terbesar Sarawak, sekali gus memperkukuh infrastruktur tenaga hijau negeri bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.
Pemeteraian MoU disaksikan oleh Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng, serta delegasi Sarawak Energy Berhad yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sharbini Suhaili. Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian, Datu Jafri Lias; Naib Presiden CTGI, Zhang Kai Hong; dan Naib Presiden Shanghai Electric, Yang Xing Hai.
Abang Johari berkata, kejayaan projek perintis loji solar terapung 50MW di Empangan Batang Ai yang mula beroperasi pada Disember 2024, menjadi bukti kemampuan Sarawak dalam melaksanakan penyelesaian tenaga hibrid secara berkesan.
Projek tersebut, meliputi kawasan 190 hektar, merupakan loji hidro-solar pertama seumpamanya di Sarawak dan kini dijadikan rujukan bagi pembangunan sistem serupa di lokasi lain.
Tambah beliau, dasar seperti Polisi Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan pindaan Ordinan Elektrik 2023 memberi ruang lebih luas kepada pembangunan tenaga bersih, termasuk penyertaan pengeluar kuasa bebas, pembangunan solar berskala besar, dan sistem tenaga dijana pengguna.
Sarawak juga melaksanakan pelbagai inisiatif di peringkat komuniti termasuk elektrifikasi luar bandar berasaskan sistem solar hibrid, teknologi solar-hidrogen, serta Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi menggalakkan penggunaan sistem solar PV di kalangan pengguna.
MoU ini dimeterai bersempena edisi ke-18 SNEC PV Expo, pameran dan persidangan tenaga solar terbesar dunia yang menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari 95 negara.
Kerjasama strategik ini turut memperlihatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Sarawak sebagai destinasi utama pelaburan tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara. – TVS