PUTRAJAYA, 10 Jun: Latihan dan pendedahan kepimpinan yang berterusan di semua peringkat menjadi kunci utama dalam memperkasakan wanita, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau, penganjuran Women’s Seminar 2025: EmpowerHER adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kedudukan wanita dalam masyarakat, tanpa mengira jawatan atau latar belakang.
“Sebab utama kita anjurkan seminar ini adalah untuk memperkasa wanita.
“Tidak kira mereka berada di peringkat mana sekalipun, dari bawah hingga ke atas, apa yang mereka perlukan ialah latihan kepimpinan dan pendedahan dalam kepimpinan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian program Women’s Seminar 2025: EmpowerHER di Putrajaya pada Selasa.
Menurut Nancy, penyediaan peluang kepada wanita adalah aspek yang amat penting dan latihan juga tidak seharusnya terhad kepada program jangka panjang sahaja.
“Latihan itu boleh jadi sehari, atau beberapa jam sahaja. Yang penting ialah pendedahan.
Bila mereka didedahkan, mereka ada peluang untuk bersosial dan belajar sesama sendiri,” jelasnya.
Women’s Seminar 2025: EmpowerHER, yang bertemakan “Engage, Energize, Elevate” merupakan program kolaborasi strategik antara Persatuan Alumni Universiti Ohio Malaysia dengan KPWKM.
Program terbabit menjadi platform perkongsian input dan amalan terbaik daripada penceramah serta panel berpengalaman dalam pelbagai bidang, khususnya dalam aspek kepelbagaian, penyelesaian berasaskan keseimbangan gender, strategi pemasaran dan kesihatan.
Seminar terbabit turut berfungsi sebagai medium advokasi untuk memperkukuh peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara. – TVS