SEOUL, 10 Jun: Pejabat Presiden Korea Selatan mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan menerima cadangan orang ramai untuk jawatan menteri Kabinet, timbalan menteri dan ketua agensi kerajaan, selaras dengan janji Presiden Lee Jae Myung untuk membentuk kerajaan berteraskan penyertaan rakyat.
Menurut jurucakap presiden Kang Yu Jung, orang ramai boleh menghantar cadangan mereka melalui laman sesawang rasmi Kementerian Pengurusan Personel mulai Selasa untuk tempoh satu minggu, lapor agensi berita Yonhap.
Cadangan juga boleh dihantar melalui akaun media sosial rasmi Lee dan e-mel.
“Pentadbiran Lee Jae Myung akan membuka luas pintu kerajaan yang diperintah oleh rakyat dengan aktif mencari bakat sebenar melalui sistem pencalonan yang telus dan adil,” kata Kang.
Lee sebelum ini berjanji semasa kempen presidennya untuk memperkenalkan mekanisme pencalonan awam bagi jawatan tinggi kerajaan.
Kang menyatakan semua calon yang dicadangkan akan melalui proses saringan oleh pejabat presiden, diikuti semakan awam sebelum pelantikan rasmi.- TVS