KUALA LUMPUR, 10 Jun: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan komitmen tinggi dalam membantu keluarga dan mangsa tragedi kemalangan bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik awal pagi Isnin.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata KPT melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah menyalurkan bantuan segera berbentuk kewangan kepada mangsa dan keluarga terlibat.
Menurutnya, KPT telah menghulurkan bantuan khairat kematian berjumlah RM2,000 kepada setiap waris pelajar yang meninggal dunia dan memberi bantuan bencana (RM1,000) kepada setiap pelajar yang cedera.
“Selain itu KPT juga akan mengaturkan sokongan psikososial kepada semua mangsa terutama yang mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan serta menguruskan proses pengebumian kesemua pelajar yang meninggal dunia termasuk van jenazah dan kos berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Dr Zambry juga berkata KPT akan menubuhkan tabung bantuan kemalangan bagi meringankan beban ahli keluarga dan mangsa.
“KPT bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan lain dan sokongan kepada mangsa serta waris keluarga yang terjejas.
“Semoga mangsa dan ahli keluarga yang ditimpa musibah agar bertabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini,” tambah beliau.
Kemalangan itu mengorbankan 15 nyawa manakala 29 yang lain mengalami kecederaan dan sedang mendapatkan rawatan, sebahagian besarnya di Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. – TVS