TANJUNG MANIS, 10 Jun: Projek pembinaan Jambatan Batang Paloh kini mencapai 76 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2026.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Perlabuhan (MIPD), Datuk Aidil Lariwoo berkata projek itu kini berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan susulan pelarasan jadual pelaksanaan sebelum ini.
“Setelah dinilai berdasarkan permohonan lanjutan masa yang diluluskan kepada kontraktor, tarikh siap projek ini ditetapkan pada September 2026.
“Bagaimanapun, pihak kontraktor memberi jaminan bahawa jambatan ini dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh tersebut, bagi membolehkan ia dibuka kepada pengguna sebelum tarikh akhir,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerja-kerja pembinaan kini disegerakan susulan insiden pelanggaran struktur tiang konkrit bertetulang (pier) nombor enam dan tujuh oleh beberapa kapal atau tongkang yang melalui sungai Batang Paloh sebelum ini.
“Insiden tersebut memberi sedikit gangguan, namun langkah pemulihan telah diambil dan kerja-kerja pembinaan diteruskan seperti dijadualkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Sarawak turut bercadang menambah bilangan feri berkapasiti besar bagi mengatasi masalah kesesakan luar biasa, terutamanya pada musim perayaan.
“Masalah kesesakan bukan sahaja berlaku di Batang Paloh, tetapi turut membabitkan pangkalan feri Triso-Sebuyau, terutama selepas pembukaan Jambatan Batang Saribas baru-baru ini,” katanya.
Tambah beliau, kementerian akan terus memantau situasi semasa dan menambah baik sistem pengangkutan di kawasan berkenaan demi keselesaan pengguna. – TVS