KUCHING, 10 Jun: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) terus komited memperkasa pembangunan modal insan dalam kalangan bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL).
Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato Amir Md Noor berkata program pensijilan tersebut memberi pengiktirafan rasmi terhadap pengalaman dan kemahiran dimiliki oleh warga ATM, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor pekerjaan selepas persaraan.
“Setakat ini, PERHEBAT telah melatih hampir 6,000 individu untuk memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia melalui kaedah RPEL. Kebolehpasaran graduan turut menunjukkan peningkatan kepada 72 peratus berbanding 64 peratus tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia RPEL dan Sijil PERHEBAT di Dewan Suarah Kuching, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerjasama strategik dengan pelbagai industri diyakini mampu memperluas peluang kerjaya kedua dalam bidang berkaitan latihan yang diikuti, termasuk kepada pelatih di Sarawak.
Majlis penganugerahan hari ini menyaksikan seramai 385 graduan, terdiri daripada bakal pesara dan veteran ATM, ditauliahkan diploma dan sijil masing-masing sebagai simbol pengiktirafan ke atas pengalaman mereka dalam perkhidmatan.
Rekod PERHEBAT menunjukkan, sebanyak 5,793 anggota dan veteran ATM seluruh negara telah berjaya ditauliahkan diploma RPEL dalam tempoh Januari hingga Mei 2025.
Sementara itu, Panglima Divisyen Pertama Infantri (1 Div), Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abd Aziz berkata, program itu merupakan hasil kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang memberikan nilai tambah kepada warga ATM menjelang tamat perkhidmatan.
“Di Markas Satu Divisyen, terutama di Sarawak, kita melihat peranan PERHEBAT sebagai platform latihan semula bagi anggota tentera yang bakal bersara,” katanya.