KUCHING, 10 Jun: Kempen tahunan GoBald anjuran Sarawak Children’s Cancer Society (SCCS) kembali tahun ini dengan sasaran kutipan dana mencecah RM1 juta menerusi penyertaan sekurang-kurangnya 400 individu yang berani membotakkan kepala sebagai tanda solidariti kepada kanak-kanak pesakit kanser.
Menurut kenyataan SCCS, GoBald 2025 yang kini memasuki tahun ke-17 merupakan acara membotakkan kepala pertama dan terbesar di Sarawak yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam serta mengumpul dana bagi menyokong rawatan, bantuan perubatan dan penjagaan holistik pesakit kanser kanak-kanak.
“Tahun lalu, kempen ini berjaya mengutip lebih RM781,000 dengan penyertaan lebih 290 peserta.
“Sasaran yang lebih tinggi ditetapkan tahun ini selaras dengan peningkatan kos operasi tahunan SCCS yang mencecah RM2 juta, di mana lebih 70 peratus daripadanya disalurkan terus kepada kanak-kanak dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu, baru-baru ini.
Dana yang dikumpul melalui GoBald digunakan sepenuhnya bagi membiayai pelbagai keperluan penting pesakit termasuk rawatan perubatan khas, bantuan kewangan serta sokongan menyeluruh kepada keluarga terlibat.
Pada 2024, jumlah perbelanjaan SCCS meningkat kepada RM2.9 juta, termasuk lebih RM500,000 untuk tajaan bantuan perubatan yang mendesak.
“Setiap sumbangan dan setiap kepala yang dicukur membawa harapan serta kekuatan kepada anak-anak kecil yang sedang bertarung nyawa,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, acara cukur utama pertama akan berlangsung pada Ahad ini, 15 Jun di Aras Bawah (Ground Floor Concourse), The Imperial Mall, Miri.
Pendaftaran secara walk-in dibuka seawal jam 10 pagi, manakala acara mencukur kepala bermula dari jam 1.30 petang hingga 4.00 petang.
“Kami amat mengalu-alukan penyertaan orang ramai yang ingin meninggalkan impak bermakna dalam kehidupan pesakit kanser kanak-kanak. Membotakkan kepala bukan sekadar simbol solidariti, tetapi satu pernyataan bahawa mereka tidak berjuang seorang diri,” kata kenyataan itu.
Bertemakan “Leave Your Mark”, kempen kali ini menyeru orang ramai, termasuk keluarga dan komuniti, untuk tampil bersama-sama meninggalkan impak bermakna dalam perjuangan kanak-kanak menentang kanser.
Orang ramai masih berpeluang menyertai kempen ini dengan mendaftar secara dalam talian di laman web rasmi www.gobald.my.
“Kami menyeru warga Miri dan seluruh Sarawak untuk hadir dan bersama menjayakan acara ini,” kata SCCS. – TVS