KUCHING, 10 Jun: Bekas anggota dan bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yakin program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka selepas menamatkan perkhidmatan.
Program yang dikendalikan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) itu memberikan pengiktirafan rasmi terhadap pengalaman dan kemahiran yang dikumpul oleh anggota sepanjang tempoh berkhidmat dalam ATM.
Koperal (Bersara) Nazerious Hermes Abin, 40, berkata pengiktirafan menerusi RPEL memberi harapan baharu buat veteran seperti dirinya untuk membina kerjaya kedua selepas bersara.
“Sebagai veteran, perkara pertama yang saya fikirkan sebelum bersara ialah peluang untuk membina kerjaya kedua.
“Melalui RPEL, saya memperoleh sijil yang diiktiraf dan ini membuka ruang kepada pekerjaan dengan skala gaji lebih baik, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi saya pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil PERHEBAT di sini, hari ini.
Bagi Sarjan Mark Nixon Puteh, 37, yang akan bersara pada 2027, program RPEL mencerminkan komitmen ATM dan Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan anggotanya.
“Pada pandangan saya, inisiatif ini sangat bermanfaat, khususnya kepada anggota yang masih berkhidmat. Selepas bersara kelak, kami lebih yakin untuk menghadapi pasaran kerja kerana sijil ini diiktiraf oleh majikan.
“Ia mengiktiraf pengalaman dan kemahiran yang kami kumpul sepanjang berkhidmat dalam tentera,” katanya.
Kapten Shaffizan Senawi, 35, pula menyifatkan program seumpama itu perlu diperluaskan bagi memastikan kesejahteraan warga tentera selepas tamat perkhidmatan.
“Saya melihat program ini sebagai peluang menambah ilmu dan meningkatkan potensi kerjaya. Saya amat menyarankan rakan-rakan veteran atau bakal pesara agar menyertai program RPEL atau Penilaian Pengiktirafan Terdahulu (PPT) demi memperbaiki kualiti hidup selepas tamat perkhidmatan,” katanya yang telah 10 tahun berkhidmat dalam ATM.
Program RPEL diperkenal sebagai salah satu inisiatif PERHEBAT untuk membantu anggota ATM melakukan peralihan kerjaya secara berstruktur dengan menyesuaikan pengalaman ketenteraan mereka kepada keperluan pasaran kerja sivil.