MUKAH, 10 Jun: Cubaan tiga lelaki untuk mencuri sebuah transformer pencawang elektrik milik SESCO di Jalan Kuala Balingian, Mukah, gagal selepas perbuatan mereka dikesan oleh juruteknik syarikat terbabit.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang juruteknik syarikat berkenaan yang mendapati sebuah transformer bersaiz 50kVA telah dijatuhkan dari panel tiang elektrik, dipercayai akibat cubaan mencuri.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pengadu terlihat kelibat tiga suspek yang melarikan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggaran kerugian akibat kejadian itu dianggarkan sebanyak RM20,000.
Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berjaya menahan seorang lelaki tempatan pada 9 Jun 2025 kira-kira jam 2.30 petang di tepi Jalan Kuala Balingian.
“Suspek berusia 26 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan kes dadah. Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri transformer dan kabel,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati modus operandi suspek ialah dengan menarik transformer dari panel tiang menggunakan kenderaan sehingga jatuh sebelum mencuri komponen tembaga di dalamnya.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 14 Jun 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan dua lagi rakannya serta kenderaan yang digunakan dalam kejadian sedang giat dijalankan,” katanya. – TVS