LAWAS, 10 Jun: Golongan belia memikul tanggungjawab dan berperanan penting dalam memastikan Sarawak terus maju dan makmur untuk dinikmati generasi akan datang.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata usaha memaju dan memakmurkan Sarawak tidak hanya terletak pada kepimpinan hari ini tetapi wajib diteruskan oleh kepimpinan belia hari ini sebagai generasi pelapis.
“Memang merupakan tugas dan tanggungjawab kita bersama yang muda dan golongan tua pun harus maju ke depan, supaya Sarawak negeri kita ini terus maju makmur.
“Kemajuan ini adalah hasil mereka yang berdiri dihadapan saya hari ini,”katanya ketika merasmikan Larian Baton Sempena Hari Belia Negara 2025 Zon Borneo di pekan Merapok hari ini.
Henry Sum turut memberitahu harapan seluruh negeri hari ini untuk terus maju kedepan terletak ditangan generasi belia yang ada.
Malahan beliau bersyukur kerana belia Sarawak terus dibangun dengan acuan budaya Sarawak melalui Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS).
Larian Baton merupakan acara tahunan Sambutan Hari Belia Negara yang pada tahun ini telah diadakan pada hari ini dan berakhir di Kuala Lumpur pada 15 Jun ini.
Pelari daripada Sarawak diwakili belia SABERKAS Cawangan Bukit Sari, SABERKAS Ba’kelalan, belia Merapok dan pelajar-pelajar daripada SMK Merapok.
Baton kemudiannya diserah oleh Setiausaha Kerja SABERKAS Sarawak Iszuan Haroni mewakili belia Sarawak kepada Presiden Majlis Belia Malaysia Negeri Sabah Abqaree Fawwas Abekan disaksikan Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Sabah Datuk Yusuf Yacob untuk dibawa ke Sabah dan akhirnya ke Kuala Lumpur.-TVS