SIBU, 9 Jun: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini melancarkan Bengkel Bibliometrik 2025, satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkasakan penyelidik di Sarawak dengan kemahiran menganalisis literatur saintifik secara sistematik dan berasaskan data.
Naib Canselor UTS, Datuk Dr Khairuddin Abd Hamid berkata, bibliometrik merupakan alat penting dalam usaha mengenal pasti kekuatan penyelidikan tempatan dan meneroka bidang baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
“Melalui analisis bibliometrik, kita dapat memetakan kekuatan penyelidikan dalam bidang seperti pertanian tropika, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi digital serta memahami peranannya dalam konteks global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran bengkel di kampus UTS, hari ini.
Menurutnya, bengkel tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti bidang-bidang baharu yang masih kurang diterokai tetapi mempunyai potensi besar agar penyaluran dana dan latihan dapat dibuat secara lebih berfokus.
Beliau menjelaskan, bengkel tersebut dirangka dengan pendekatan 70 peratus latihan amali, sejajar dengan prinsip Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran praktikal yang boleh diterapkan terus dalam penyelidikan dan penerbitan akademik.
Khairuddin turut menyeru peserta memanfaatkan bengkel tersebut sebagai platform untuk memperluas rangkaian kerjasama penyelidikan dan menghubungkan kekuatan tradisional Sarawak dengan bidang masa depan seperti Industri 4.0 serta sistem tenaga pintar.
“Dengan gabungan analisis data yang teliti dan pandangan strategik, Sarawak berpotensi untuk muncul sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan yang benar-benar memberi impak kepada masyarakat,” ujarnya.
Bengkel anjuran Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional (CEPD) UTS dengan kerjasama Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) itu disertai seramai 30 peserta terdiri daripada ahli akademik dan penyelidik.
Bengkel Bibliometrik 2025 akan berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Jun dan bakal diteruskan di dua lagi lokasi iaitu Curtin University Malaysia, Miri dan I-CATS University College, Kuching.-TVS