LIMBANG, 9 Jun: Sebuah surau baharu sedang dibina di Kampung Palas, Batu Danau dengan peruntukan sebanyak RM350,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, projek tersebut diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bertujuan menggantikan surau lama yang uzur dan tidak lagi sesuai digunakan.
“Pada tahun ini, kita melaksanakan pembinaan semula surau Kampung Palas dengan kos RM350,000 bagi menggantikan surau lama yang usang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban di Kampung Buluh Balui, hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja meroboh struktur lama kini berjalan lancar dan pembinaan surau baharu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dengan kapasiti mampu menampung kira-kira 100 jemaah.
Tambahnya, sehingga kini, sebanyak lapan surau dibina di kawasan Batu Danau bagi menyediakan kemudahan ibadah dan penganjuran aktiviti keagamaan kepada masyarakat Islam setempat.
Antara surau yang dibangunkan termasuk Surau Kampung Palas, Surau Kampung Medait, Surau Kampung Belading, Surau Kampung Anak Bukit, Surau Kampung Kuala Awang, Surau Kampung Tedungan dan Surau Kampung Buluh Balui.
Paulus menjelaskan, pembangunan prasarana keagamaan adalah antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan rohani masyarakat luar bandar terus diberi perhatian.-TVS