SIBU, 9 Jun: Kejayaan Pusat Jantung Sarawak dan Hospital Umum Sarawak di peringkat tempatan serta antarabangsa membuktikan kemampuan Sarawak mengurus pusat rawatan khusus bertaraf tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia sekali gus menjadi pendorong untuk mewujudkan lebih banyak fasiliti seumpamanya di wilayah ini.
Menurutnya, Pusat Jantung Sarawak yang diiktiraf sebagai hospital kardiologi ke-48 terbaik di Asia Pasifik iaitu satu-satunya hospital awam dari Malaysia dalam senarai itu dan menunjukkan keupayaan wilayah ini dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.
“Hospital Umum Sarawak juga tersenarai antara hospital terbaik negara khususnya dalam bidang rawatan kanser dan kepakaran lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina (PKKMC) Bahagian Sibu, malam tadi.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menjelaskan, saiz geografi Sarawak menuntut supaya pusat rawatan khusus seperti jantung dan kanser dibina di setiap bandar utama dalam radius tiga jam perjalanan.
“Ini bukan soal kemewahan, tetapi keperluan asas. Rakyat di Miri tidak seharusnya perlu ke Kuching untuk rawatan,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun pembinaan pusat rawatan khusus adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Sarawak bersedia menggunakan dana sendiri demi kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak mahu terus menunggu. Jika tiada peruntukan, kita akan bina sendiri kerana kita sudah terbukti mampu dari segi tenaga pakar dan kemudahan,” jelasnya.
Tambahnya, komitmen Kerajaan Sarawak memperluas perkhidmatan kesihatan mencerminkan keutamaan terhadap kebajikan rakyat.
“Kesihatan rakyat adalah agenda utama. Akses kepada rawatan berkualiti, tanpa mengira lokasi adalah ukuran sebenar pembangunan,” kata Dr. Sim
Turut hadir isteri Dr. Sim, Datin Amar Enn Ong dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam Datuk Michael Tiang.-TVS