LONDON, 9 Jun: Pemain industri dan pembuat dasar kini memberi tumpuan terhadap rundingan perdagangan peringkat tinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang dijadual berlangsung di London pada Isnin, dengan harapan untuk meredakan ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
China menghantar Naib Perdana Menteri He Lifeng bagi rundingan tersebut, manakala delegasi AS diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer.
Butiran lanjut mengenai masa dan lokasi rundingan tidak didedahkan.
Jurucakap kerajaan Britain hanya mengesahkan bahawa mesyuarat itu akan berlangsung di United Kingdom dan bahawa negara itu “mengalu-alukan dialog berkenaan”.
Antara isu yang dijangka dibincangkan termasuk sekatan AS terhadap penjualan produk berteknologi tinggi kepada China serta sekatan eksport mineral nadir bumi oleh China, yang menguasai pasaran global bagi sumber tersebut.
Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping telah bersetuju untuk mengadakan rundingan ini menerusi panggilan telefon pada Khamis.
Ini merupakan pertemuan pertama sejak mesyuarat di Switzerland pada Mei lalu, yang menyaksikan pengurangan ketara tarif oleh kedua-dua pihak.
Menurut Trump, rundingan ini akan menumpukan kepada perincian perjanjian perdagangan yang dicapai pada Mei. Setiausaha akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt menggesa China supaya mematuhi perjanjian itu bagi membuka laluan kepada perjanjian yang lebih menyeluruh.
Susulan panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin, China turut menggesa AS supaya berpegang kepada perjanjian tersebut dan tidak mengeluarkan kritikan.
Beijing turut meminta AS supaya menilai secara objektif kemajuan yang telah dicapai dan menarik balik langkah-langkah negatif yang dikenakan terhadap China. -TVS