KUCHING, 9 Jun: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Kerja Sektor Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Wanita Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) merancang pelaksanaan sebanyak 49 projek pada tahun 2025 melibatkan peruntukan keseluruhan RM248.72 juta.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, semua projek tersebut kini berada di pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan.
“Di bawah seliaan jawatankuasa ini, sebanyak 49 projek bernilai RM248.72 juta dirancang dan sedang melalui pelbagai peringkat proses sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sektor Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Wanita BDDA Kali Kedua Tahun 2025 di Kuching, hari ini.
Menurut Razi, mesyuarat itu diadakan bagi mendapatkan maklumat terkini dan maklum balas daripada agensi pelaksana yang terlibat, bagi memastikan setiap projek yang dirancang berjalan lancar.
“Kerjasama daripada agensi pelaksana sangat penting supaya semua projek dapat dilaksanakan mengikut jadual dan memberi impak kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Razi turut menyatakan pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar di Bahagian Betong, khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan, keusahawanan dan pembangunan wanita.-TVS