SARIKEI, 9 Jun: Seorang remaja wanita dilaporkan lemas ketika mandi bersama-sama rakannya di Air Terjun Wong Ruan, di sini, petang tadi.
Mangsa, Nur Afiqah Jemat, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai lemas dalam insiden yang berlaku sekitar jam 3.45 petang.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang, sebelum sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi.
“Mangsa dipercayai lemas ketika mandi di air terjun tersebut. Rakan mangsa sempat meminta bantuan daripada penduduk kampung yang kemudian menghubungi pihak polis dan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rakan mangsa berjaya diselamatkan namun Nur Afiqah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-TVS