ANKARA, 9 Jun: Portugal muncul juara Liga Negara-Negara UEFA 2025 pada Ahad selepas menewaskan Sepanyol 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan yang berakhir 2-2 selepas masa sebenar dan masa tambahan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pemain tengah Sepanyol, Martin Zubimendi meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-21 di Stadium Allianz Arena, Munich menerusi percubaan dari dalam kotak penalti.
Lima minit kemudian, pertahanan Portugal Nuno Mendes menyamakan kedudukan menerusi percubaan leret yang deras yang berjaya menerjah gawang Sepanyol.
Sepanyol kembali di hadapan 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan pemain tengah Mikel Oyarzabal pada minit ke-45.
Bintang veteran Portugal yang juga kapten pasukan, Cristiano Ronaldo berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi percubaan dari dalam kotak penalti pada minit ke-61.
Dengan keputusan masih terikat selepas masa tambahan, perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Portugal merangkul kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA 2025 buat kali kedua dalam sejarah selepas pemain Sepanyol, Alvaro Morata gagal menyempurnakan sepakan penalti keempat pasukannya. -TVS