MUNICH, 9 Jun: Seorang penyokong bola sepak maut semasa menyaksikan perlawanan akhir Liga Negara-Negara UEFA 2025 antara Portugal dan Sepanyol di Munich pada Ahad, menurut Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Polis memaklumkan bahawa seorang lelaki terjatuh dari tingkat dua tempat duduk utama di Allianz Arena ke tingkat bawah pada minit-minit terakhir perlawanan.
Perlawanan diteruskan tanpa gangguan sementara petugas perubatan memberikan rawatan kepada mangsa.
UEFA memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas tengah malam (2206 GMT Ahad) walaupun usaha terbaik telah dilakukan pasukan perubatan.
Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente memulakan sidang media selepas perlawanan dengan menyampaikan ucapan takziah.
“Sebelum kita mulakan dengan soalan, saya ingin merakamkan ucapan takziah kerana seorang penyokong telah meninggal dunia di stadium hari ini,” katanya. “Takziah kepada keluarga mangsa.”
Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martínez turut menyatakan kesedihannya.
“Kami berdukacita atas kematian penyokong ini. Ini berita yang amat menyedihkan,” katanya. – TVS