LUNDU, 9 Jun: Pembinaan Jambatan Batang Rambungan disambut positif oleh penduduk Kampung Rambungan dan kawasan sekitar khususnya mereka yang bergantung kepada perkhidmatan feri sebagai laluan harian utama.
Ketua Kaum Kampung Rambungan, Malik Bujang, 54, berkata, jambatan tersebut bakal memberikan kemudahan besar kepada penduduk setempat serta memendekkan masa perjalanan antara Kuching dan Lundu.
“Pada pandangan saya, jambatan ini akan banyak membantu memudahkan urusan harian penduduk khususnya mempercepatkan perjalanan dari Kuching ke Lundu dan sebaliknya. Kadangkala kami perlu menunggu sehingga 45 minit hanya untuk menaiki feri,” katanya ketika ditemui di tapak projek jambatan berkenaan pada Isnin.
Bagi pekerja swasta, Eliezer Yizreel Ali, 24, pembinaan jambatan tersebut sangat dinanti-nantikan oleh pengguna feri seperti dirinya.
“Saya sangat teruja. Kehadiran jambatan ini akan mempercepatkan perjalanan harian saya dan menjimatkan masa,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Jeffry, 27, yang bekerja dalam sektor pembinaan turut menyuarakan pandangan serupa.
“Apabila jambatan ini siap nanti, kami bukan sahaja dapat bergerak dengan lebih mudah, malah tidak perlu lagi membayar tambang feri setiap kali melintasi sungai,” jelasnya.
Jambatan Batang Rambungan yang sedang dalam pembinaan dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan mobiliti dan pembangunan sosioekonomi bagi kawasan luar bandar antara Lundu dan Kuching.-TVS