Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ewon merasmikan Pesta Kaamatan Zon Kolopis.

Penampang hab keusahawanan dinamik Sabah

ByTVS

PENAMPANG, 9 Jun: Daerah Penampang bakal muncul sebagai hab keusahawanan dinamik menerusi pelbagai inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menyasarkan golongan belia, wanita serta pengusaha mikro tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pelbagai usaha digerakkan bagi memperkasakan usahawan tempatan termasuk pembukaan pejabat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), cawangan TEKUN Nasional, penubuhan Studio Live TikTok serta Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah.

“Semua inisiatif ini bertujuan membuka lebih banyak peluang keusahawanan kepada belia, wanita dan usahawan mikro yang ingin mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya semasa merasmikan Pesta Kaamatan Zon Kolopis di sini, kelmarin.

Menurut Ewon, pendekatan kementerian kini lebih berfokus kepada pembangunan berasaskan komuniti agar manfaat program keusahawanan benar-benar dirasai di peringkat akar umbi.

Penampang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu merupakan antara kawasan pinggir bandar yang pesat membangun di Sabah.

Tambahnya, pembangunan ekonomi berasaskan keusahawanan adalah pelengkap kepada pembangunan fizikal di Penampang yang turut merangkumi penaiktarafan infrastruktur, penyukatan tanah dan projek perhubungan luar bandar.

Antara projek utama yang sedang giat dilaksanakan ketika ini termasuk Projek Tebatan Banjir di Donggongon, penaiktarafan Tamu Donggongon, pembinaan Jambatan Babagon, penyukatan tanah di Kampung Togudon melalui Program PANTAS serta penaiktarafan jalan Terian–Buayan.

“Ini antara perubahan ketara yang dapat dilihat dalam tempoh dua tahun setengah saya memegang mandat sebagai wakil rakyat kawasan ini,” ujar Ewon.

Ewon turut memaklumkan bahawa semua inisiatif pembangunan di Penampang dirangka secara menyeluruh melalui Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035 yang bakal menjadi rujukan utama bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula 2026.

Menyentuh tentang sambutan Pesta Kaamatan, beliau berkata, perayaan tersebut bukan sekadar warisan kebudayaan tetapi menjadi wahana penting dalam memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Pada majlis sama, Ewon turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Khairat Kematian Kampung Kolopis melalui peruntukan Ahli Parlimen Penampang sebagai tanda sokongan kepada inisiatif masyarakat setempat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan