LUNDU, 9 Jun: Projek Jambatan Batang Rambungan yang menjadi sebahagian daripada jaringan Jalan Pesisir Sarawak mencatat kemajuan memberangsangkan dengan perkembangan fizikal 5.84 peratus mendahului jadual asal 3.76 peratus.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur) Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo berkata, kemajuan tersebut menunjukkan peningkatan positif berbanding bulan sebelumnya.
“Projek kini mendahului jadual sebanyak 2.08 peratus. Ini perkembangan yang baik dan kami akan terus pantau agar ia berjalan lancar,” katanya ketika lawatan kerja di tapak projek hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memantau kemajuan projek setiap satu hingga dua bulan.
Projek pembinaan jambatan sepanjang 560 meter dengan kos melebihi RM82 juta ini bermula pada 17 Disember 2019 namun tertangguh akibat pelbagai kekangan.
Ia disambung semula pada 19 November 2024 oleh kontraktor penyelamat, Titanium Project Management Sdn Bhd yang dilantik melalui tender terbuka.
Jambatan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026 dan bakal memberikan akses lebih mudah kepada penduduk Lundu, Bau serta Kuching. – TVS