KUALA LUMPUR, 9 Jun: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyuarakan rasa dukacita susulan tragedi nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) Banun, berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Presiden MATA, Dato Sri Dr. Khalid Harun menyifatkan insiden itu sebagai satu kecemasan nasional yang memerlukan rasa tanggungjawab menyeluruh dan tindakan segera daripada semua pihak berkaitan termasuk kementerian, agensi penguat kuasa dan pengendali pengangkutan.
“Tragedi ini adalah panggilan kesedaran. Keselamatan tidak boleh lagi dianggap perkara kedua. Setiap pihak dari penggubal dasar hingga pengendali mesti menjadikan keselamatan sebagai amanah utama,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
MATA menekankan keperluan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan pelaksanaan audit keselamatan berkala serta latihan wajib kepada semua pengendali pengangkutan berlesen khususnya kenderaan yang membawa pelajar dan kumpulan besar.
Menurut kenyataan itu, MATA juga mendesak agar siasatan segera dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai atau gagal mematuhi peraturan keselamatan.
Selain itu, MATA mencadangkan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan bagi memperkukuh sistem keselamatan pengangkutan pelancong dan pelajar.
MATA turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan solidariti penuh kepada warga UPSI serta seluruh rakyat Malaysia yang turut merasai kehilangan besar ini.
Tragedi menyayat hati itu berlaku antara 12.30 tengah malam hingga 1 pagi apabila bas sewa khas yang membawa penuntut UPSI kampus Tanjung Malim terbalik selepas dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza. – TVS