KUCHING, 9 Jun: Penduduk Kampung Maludam kini boleh menarik nafas lega apabila dua projek bernilai RM47 juta dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir yang sekian lama membelenggu kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, dua projek tersebut ialah projek mitigasi banjir bagi penempatan utama Maludam serta projek pembinaan sistem saliran dan perparitan baharu di kawasan perkampungan Maludam.
“Cadangan projek ini kini berada di peringkat penyediaan Laporan Perancangan Terperinci (DPR). Apabila siap kelak, ia diyakini mampu mengatasi masalah banjir yang menjejaskan kehidupan harian penduduk selain merosakkan harta benda dan hasil pertanian mereka,” katanya kepada TVS.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sektor Pembangunan Infrastruktur Agensi Pembangunan Bahagian Betong Kali Kedua yang berlangsung di Kuching pada Isnin.
Menurutnya banjir yang berlarutan turut memberi kesan negatif terhadap ekonomi tempatan dan pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu tersebut secara menyeluruh.
“Projek ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan penduduk malah menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta pembangunan komuniti setempat,” ujarnya.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga ADUN Layar.-TVS