Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kesesakan lalu lintas menyebabkan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlepas daripada menaiki bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik sehingga mengorbankan 15 nyawa awal pagi tadi. Foto APM Pulau Pinang

Lewat 15 minit, pelajar UPSI terselamat dalam tragedi bas maut

ByBernama

KOTA BHARU, 9 Jun: Kesesakan lalu lintas menyebabkan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlepas daripada menaiki bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik sehingga mengorbankan 15 nyawa awal pagi tadi.

“Lewat 15 minit rupa-rupanya memisahkan anak saya dengan maut,” kata Rosyidah Husien, 50, ibu kepada Nur Adilah Mohd Rusdi, 20.

Rosyidah berkata Nur Adilah yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik, sepatutnya menaiki bas sewa khas yang membawa pelajar UPSI itu dari Masjid Hadhari, Jertih pada 9 malam tadi.

Wanita itu memberitahu Bernama bahawa kereta yang dipandu suaminya Mohd Rusdi Ramli, 55, untuk menghantar anak mereka, tiba di lokasi berkenaan selepas bas bergerak.

“Apabila dihubungi, pemandu memaklumkan bas akan berhenti di Machang, namun suami enggan menghantar hingga ke Machang kerana jaraknya yang agak jauh. Akhirnya, anak saya menumpang bapa saudaranya, Mohd Nizam Husien yang kebetulan turut bertolak ke Kuala Lumpur malam tadi,” katanya.

Rosyidah berkata anaknya bertolak dari rumah mereka di Kampung Gong Bayor, Besut sekitar 12 tengah malam bersama bapa saudaranya.

Wanita itu berkata anaknya cuba menghubungi rakan-rakan yang menaiki bas tersebut sekitar 1 pagi, namun tiada jawapan, sebelum seorang rakan menghubunginya sekitar 2 pagi untuk memaklumkan bahawa bas itu terlibat dalam kemalangan

“Lebih mengejutkan, polis turut menghubungi anak saya dan memaklumkan namanya tersenarai sebagai seorang daripada penumpang bas tersebut.

“Sebenarnya tempat duduk yang sepatutnya diduduki anak saya ialah nombor sembilan, tetapi malam tadi ia diduduki oleh rakannya,” katanya.

Rosyidah bersyukur anaknya selamat, namun sehingga kini anaknya itu masih trauma dan enggan ditemu bual.

Beliau berkata sebelum bertolak malam tadi Nur Adilah sempat berbual dengan neneknya dan mengucapkan selamat tinggal, sambil menyatakan rasa bimbang sekiranya berlaku kemalangan.

“Saya sempat menegur dia kerana berkata begitu, tapi dia hanya tersenyum. Siapa sangka kata-katanya itu hampir jadi kenyataan. Saya bersyukur kerana takdir menyelamatkannya malam tadi,” katanya.

Rosyidah berkata selain Nur Adilah, seorang lagi rakan anaknya turut terselamat kerana tidak menaiki bas tersebut setelah dimasukkan ke Hospital Besut akibat demam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan