SEBUYAU, 9 Jun: Kerajaan Sarawak terus komited menyempurnakan pembinaan jalan baharu sepanjang 28 kilometer dari Batang Sadong ke Sebuyau sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf jaringan jalan pesisir negeri.
Projek berkenaan dikenali sebagai Pakej A-2 di bawah Projek Jalan Pesisir Sarawak kini mencatat kemajuan 3.85 peratus dan berjalan mengikut jadual meskipun berdepan cabaran teknikal dan isu logistik.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo berkata, laluan baharu itu bakal memberi impak besar kepada penduduk setempat dengan memendekkan jarak perjalanan daripada 43 kilometer kepada sekitar 28 kilometer sekali gus menjimatkan masa perjalanan antara 30 hingga 40 minit berbanding laluan sedia ada.
“Dengan laluan baharu ini, masa perjalanan dari Jambatan Batang Sadong ke Sebuyau akan dikurangkan daripada lebih 90 minit kepada hanya satu jam,” katanya selepas mendengar taklimat kemajuan projek semasa lawatan ke tapak pembinaan, hari ini.
Projek tersebut turut melibatkan pembinaan empat jambatan serta satu kawasan berisiko tinggi berhampiran Taman Negara di Ulu Sebuyau yang memerlukan kaedah pembinaan khas bagi menjamin keselamatan dan kelestarian alam sekitar.
Aidel turut memaklumkan kerajaan merancang menaik taraf jajaran jalan tersebut kepada empat lorong bermula dari A1A dan A1B hingga ke Jambatan Batang Samarahan sebagai langkah jangka panjang untuk menampung pertambahan trafik pada masa hadapan.
Meskipun berhadapan dengan kekangan bekalan bahan binaan seperti pasir yang terpaksa diangkut dari kawasan tengah Sarawak seperti Sibu, pihak kontraktor berjaya membangunkan pusat penghantaran bahan binaan di Kabong sekali gus mempercepatkan kelangsungan kerja-kerja pembinaan.
Projek tersebut dijangka siap pada 18 Ogos 2028 setelah diberikan dua lanjutan masa (EOT) dan kerajaan yakin pelaksanaannya akan mengikut jadual seperti dirancang. – TVS