Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau pada sidang media Karnival Gawai Tradisi Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Bangunan Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) Miri, hari ini. Foto TVS

Karnival Gawai Tradisi 2025 bakal tampil meriah

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 9 Jun: Karnival Gawai Tradisi 2025 yang akan berlangsung dari 12 hingga 13 Jun ini di Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) Miri menjanjikan pelbagai acara menarik termasuk 13 jenis permainan tradisional, persembahan kebudayaan dan acara kemuncak Miss Gawai Sarawak 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, karnival tahunan itu bukan sahaja bertujuan meraikan sambutan Gawai Dayak malah menjadi platform penting dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Sarawak melalui budaya.

“Kita akan menyaksikan sebanyak 13 permainan tradisional yang mungkin jarang diketahui umum. Ini peluang terbaik untuk masyarakat hadir, menyaksikan dan menyertai sendiri aktiviti kebudayaan etnik-etnik yang mengambil bahagian,” katanya pada sidang media di Bangunan FORUM, hari ini.

Beliau berkata, gerai makanan dan kraftangan akan dibuka sepanjang 12 dan 13 Jun dan akan dilanjutkan hingga 15 Jun bagi memberi lebih ruang kepada pengunjung menikmati hidangan tempatan serta menyokong ekonomi komuniti setempat.

Antara acara yang paling dinanti-nantikan ialah pertandingan Tarian Datun Julud dan persembahan alat muzik sape tradisional yang dijadualkan pada 12 Jun.

“Sebanyak 20 kumpulan Tarian Datun Julud dan 20 kumpulan pemain sape mengesahkan penyertaan. Kalau mahu melihat keaslian budaya Orang Ulu, datanglah pada malam 12 Jun. Kemasukan adalah percuma,” ujar Dennis.

Dennis berkata, kemuncak karnival ialah pertandingan Miss Gawai Sarawak 2025 pada 13 Jun yang menyaksikan seramai 13 peserta dari seluruh Sarawak terdiri daripada juara peringkat bahagian bersaing merebut gelaran ratu cantik Dayak tahun ini.

“Pertandingan ini diadakan dengan taraf yang tinggi setelah sekian lama tidak diadakan di peringkat negeri. Tiket masuk ke dewan pertandingan berharga RM20 seorang dan hanya 1,500 tiket dicetak. Jadi, jangan lepaskan peluang,” jelasnya.

Karnival turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan yang akan menghiburkan pengunjung sepanjang acara berlangsung.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan