LAWAS, 9 Jun: Ibadah korban yang dilaksanakan keluarga besar atau purih Damit Minudin dari Kampung Pemukat, Kuala Lawas hari ini bukan sekadar tuntutan agama malah menjadi simbol pengukuhan warisan kekeluargaan.
Penganjur program, Latif Damit menyumbang tiga ekor kerbau untuk dikorbankan dan diagihkan kepada lebih 200 ahli keluarga serta penduduk Kampung Kerangan Lawas termasuk golongan asnaf.
“Program ini amat bermakna dan menjadi tradisi tahunan keluarga kami sejak lebih 10 tahun lalu. Ia menghimpunkan generasi tua dan muda untuk bersama melaksanakan ibadah,” katanya kepada TVS.
Latif yang juga Pengerusi Kelab Bola Sepak HLDM CITY FT berkata, program tersebut berjaya menyatukan ahli keluarga dari seluruh negara termasuk Sabah, Brunei, Labuan dan Semenanjung.
“Ini bukan sekadar ibadah korban, tetapi juga korban masa dan usaha untuk berkumpul sebagai keluarga besar. Bukan mudah, namun inilah pengorbanan sebenar yang mengeratkan silaturahim,” ujarnya.
Sementara itu, abangnya, Sulaiman Damit yang juga seorang usahawan menyifatkan pengalaman menyertai ibadah korban secara berjemaah sebagai satu detik yang menyentuh hati.
“Walaupun ramai ahli keluarga sudah tiada, semangat mereka tetap dirasai. Setiap kali kami berkumpul dan melaksanakan korban bersama, suasana menjadi sangat rapat dan meriah,” jelasnya. – TVS